Sebahagia daripada 27 wargas asing yang ditahan imigresen di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru kelmarin

JOHOR BAHRU –Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menyerbu sebuah premis makanan dan memberkas 27 wargas asing di Bandar Baru Permas Jaya di sini kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Selera tersebut dijalankan hasil maklumat awam selepas melihat warga asing terbabit di premis berkenaan.

“Secara keseluruhan kita memeriksa seramai 63 individu. Daripada jumlah itu 27 individu ditahan membabitkan lapan lelaki dan lapan wanita warganegara Indonesia.

“Ini termasuk lima lelaki dan enam wanita warganegara Myanmar. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 50 tahun.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan imigresen iaitu tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Begitu juga katanya, salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, warga tempatan berkenaan pula ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi warga asing.

Tambah beliau, tiga notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan bagi membantu siasatan dan semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

Mohd Rusdi mengingatkan orang ramai dan majikan agar tidak melindungi warga asing atau menggaji mereka tanpa dokumen sah kerana tindakan tegas akan diambil.

“Majikan yang ingin menggaji pekerja asing dinasihatkan supaya berurusan terus dengan pejabat Imigresen bagi mendapatkan maklumat tepat dan mengelakkan diri daripada diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast