KUALA LUMPUR – Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membidas kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkenaan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam pertikaian cukai Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan, walaupun mahkamah telah membuat keputusan namun undang-undang secara jelas memberi kuasa mutlak kepada Menteri Kewangan untuk meluluskan rayuan dan permohonan semula TNB di bawah Seksyen 7B untuk mengenepikan pertikaian tersebut.
”Isunya bukanlah tentang status TNB sebagai utiliti atau pengilang – Mahkamah Persekutuan telah menjelaskan perkara tersebut.
”Rakyat kini menunggu jawapan yang mudah dari kerajaan: “ya” atau “tidak” – adakah kerajaan akan melindungi atau mengambil simpanan mereka?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ka Siong menjelaskan, isu pokok yang perlu diberi perhatian adakah cukai yang perlu dibayar oleh TNB kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak lebih RM5 bilion akan datang daripada wang simpanan rakyat.
Ini kerana menurut beliau, lebih 63 peratus saham TNB adalah wang rakyat yang dilaburkan menerusi institusi seperti Amanah Saham Berhad (ASB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan lain-lain.
“Jika kerajaan menguatkuasakan bayaran tambahan cukai dan penalti sebanyak RM8.32 bilion ini, bermakna sehingga RM5 bilion simpanan rakyat akan dipindahkan ke dalam kantung kerajaan.
“Ini bukan sandiwara politik – ini satu tamparan kewangan sebenar kepada rakyat biasa,” katanya lagi.
Tambahnya, isu yang dibangkitkan beliau bukan soal teknikaliti undang-undang di bawah Jadual 7A berbanding 7B Akta Cukai Pendapatan 1967 seperti yang dinyatakan Zhemin.
Sebaliknya Ka Siong menegaskan, beliau membangkitkan isu ini bagi mempertahankan kepentingan rakyat tanpa mengira parti yang memerintah.
”Adalah tidak bertanggungjawab untuk memperlekehkan kebimbangan terhadap berbilion ringgit simpanan rakyat sebagai “sandiwara politik”. Saya akan sentiasa mempertahankan kepentingan rakyat, tanpa mengira siapa yang memerintah.
”Berhentilah berlindung di sebalik teknikaliti dan serangan politik. Persoalan sebenar ialah: Adakah kerajaan Madani akan melindungi RM5 bilion wang rakyat, atau mereka akan menjarah simpanan rakyat untuk menampung kekurangan bajet? Rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas,” ujarnya.
Awal bulan lalu, TNB memaklumkan berdepan bil cukai RM5.05 bilion berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa ia tidak layak untuk menuntut elaun pelaburan semula.
Keputusan mahkamah tertinggi itu membatalkan keputusan mahkamah rayuan yang mendapati syarikat utiliti itu menjalankan perniagaan pembuatan elektrik.
Ia berkata, TNB sepatutnya dianggap sebagai syarikat utiliti di bawah Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP).
Pertikaian itu timbul apabila LHDN tidak membenarkan tuntutan TNB di bawah Jadual 7A ACP atas dasar penjanaan, pengagihan dan penghantaran elektrik bukan merupakan pengilangan elektrik.
TNB juga berhujah ia hanya penyedia perkhidmatan. – MalaysiaGazette
















