Anak-anak Gaza yang kelaparan. Fail AFP

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya terhadap keputusan terbaharu rejim Zionis Israel untuk mengambil alih Gaza sepenuhnya.

Kementerian Luar Negeri berkata, tindakan yang terancang dan tidak berperikemanusiaan ini jelas menunjukkan niat rejim tersebut untuk menduduki wilayah Palestin secara kekal, sekali gus mencabuli undang-undang antarabangsa serta memperlekehkan prinsip asas hak asasi manusia dan keadilan.

“Setelah 22 bulan serangan pengeboman berterusan, sekatan yang menjerut nyawa dan pengusiran paksa lebih 90 peratus penduduk Gaza, langkah ini bertujuan untuk menamatkan penyelesaian dua negara secara muktamad.

“Sekiranya Israel terus dibenarkan bertindak sewenang-wenangnya, segala proses damai akan terkubur dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri akan sekali lagi dinafikan,” kata kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Malaysia menyeru semua negara agar menolak secara tegas dasar aparteid Israel dan mengambil tindakan segera serta konkrit untuk mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Selain itu, memastikan gencatan senjata kekal, pengunduran penuh tentera rejim Zionis Israel dari Gaza, penamatan segera semua sekatan terhadap akses bantuan kemanusiaan, membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan serta memastikan keanggotaan penuh negara Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast