KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol penyelarasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) selari dengan keperluan industri tempatan di Sarawak.
Ia kerana, masih ramai graduan TVET kini masih tidak bekerja dalam bidang berkaitan, mencerminkan kegagalan dasar sedia ada.
“Kita ada lulusan automasi jadi rider, lulusan elektrikal jadi jurujual. Ini bukan reformasi, ini tragedi,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat,
Dalam pada itu, beliau mencadangkan padanan latihan industri diperkukuh melalui pelaksanaan menyeluruh strategi RMK13 termasuk penubuhan Suruhanjaya TVET dan penggunaan data masa nyata.
Mordi turut menggesa agar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilaksanakan secara lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan sebenar rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan negeri Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan.
Beliau yang menyambut baik iltizam kerajaan untuk memperkukuh reformasi pendidikan namun menegaskan kejayaan strategi itu perlu mengambil kira realiti di lapangan, termasuk keadaan sekolah daif dan tertangguhnya projek pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman.
“Ada sekolah seperti SK Atas dan beberapa lagi telah dikenal pasti berada dalam kategori skala tujuh, namun masih belum dibina semula akibat kekangan keluasan tanah dan kelewatan proses pengambilan tanah,” katanya.
Beliau turut menimbulkan persoalan berhubung pemindahan SMK Bau di Sarawak yang dikatakan berisiko banjir, sedangkan projek pembangunan komersial diluluskan di kawasan sama.
“Jika lokasi itu tidak sesuai untuk sekolah atas faktor banjir, kenapa sesuai pula untuk projek komersial? Ini bukan lagi isu bajet atau pendidikan, ini isu integriti dan ketelusan,” tegasnya.
Menyentuh isu pemilikan tanah hak adat bumiputera (NCR), Mordi menyelar kelewatan pengeluaran geran walaupun kerja ukur telah dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu.
“Rakyat masih menunggu geran tanah seperti menunggu buah yang tidak gugur. Saya cadangkan agar kerajaan Persekutuan memainkan peranan lebih aktif dalam menyelesaikan isu ini meskipun bidang kuasa tanah terletak di bawah kerajaan negeri,” ujarnya.
Beliau juga mencadangkan penubuhan unit pemantauan khas di bawah ICU JPM untuk menyelaras pelaksanaan program tanah NCR secara lebih telus dan bebas campur tangan politik.
Dengan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan, Mordi juga menggesa pembangunan kawasan sempadan seperti Kampung Biawak dan Serikin dipercepatkan sebagai zon pertumbuhan ekonomi rentas sempadan.
Mengulas aspek perundangan, Mordi menegaskan pentingnya Kerajaan Persekutuan menyemak semula Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan harmonikannya dengan Ordinan Minyak Sarawak (OMO 1958) serta Ordinan Pembahagian Gas (2016).
“Undang-undang kita mesti bercakap dalam nada yang sama, bukan saling bercanggah. Ketidakpastian undang-undang menjejaskan pelaburan dan keyakinan industri,” katanya.
Akhirnya, beliau menyokong dokumen RMK13 secara prinsip namun menekankan bahawa kejayaan sebenar hanya boleh dicapai sekiranya pelaksanaan dasar selari dengan realiti setempat.
“Pelaksanaan mesti sejajar dengan realiti di lapangan. Jangan kita hanya cemerlang di atas kertas tetapi gagal di mata rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















