GEORGE TOWN – Seorang wanita berusia 46 tahun terselamat selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya terbakar ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kilometer 6.8 Jambatan Pulau Pinang menghala utara di sini hari ini.
Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dan menyedari kenderaannya terbakar selepas ditegur seorang penunggang motosikal yang melihat api pada bahagian hadapan kereta.
Wanita itu segera memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan sebelum api marak dan membakar hampir keseluruhan kereta berkenaan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 7.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi pada pukul 7.20 pagi didapati sebuah kereta Perodua Myvi itu sedang terbakar dan api telah merebak hampir keseluruhan kenderaan.
“Kebakaran berjaya dikawal lima minit kemudian dan kerja-kerja pemadaman sepenuhnya termasuk overhaul selesai dijalankan pada pukul 7.47 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kebakaran mengakibatkan 90 peratus kemusnahan kenderaan dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi pemadaman diketuai PBK II Azman Ibrahim melibatkan sembilan anggota serta dua jentera iaitu satu Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan lokasi kejadian telah diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette















