KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini mengesahkan penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang berkuat kuasa sejak 1 November 2024 masih lagi berkuat kuasa.
Beliau memaklumkan sepanjang tempoh penggantungan itu, NAFAS ditadbir oleh mereka yang dilantik oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang dengan segala urusan tertakluk kepada arahan pihak pendaftar.
“Pendaftar telah melantik Majlis Peneraju Nafas yang dianggotai lima ahli profesional berpengalaman dalam tadbir urus dan pengurusan kerajaan diterajui bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman.
“Majlis ini berperanan menilai semula setiap aspek pengurusan dan operasi NAFAS termasuk anak syarikat dengan matlamat memastikan pemulihan institusi berlaku secara menyeluruh, berstruktur dan berintegriti,” katanya menjawab soalan Aminolhuda Hassan (Sri Gading – PH) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu mengariskan beberapa pembaharuan utama termasuk transformasi tadbir urus NAFAS, penilaian dan penstrukturan semula pentadbiran, penstrukturan semula syarikat subsidiari, audit pengurusan dan pemantauan berterusan.
Ia juga melibatkan pengukuhan mekanisme semak dan imbang, penguatkuasaan kod etika dan integriti, pelbagaian sumber pendapatan serta pemulihan kepercayaan awam terhadap NAFAS.
Tambahnya, strategi pembaharuan akan dimuktamadkan melalui dokumen blueprint penambahbaikan tadbir urus dan keberdayasaingan.
Ketika ditanya mengenai manfaat pembaharuan kepada peladang kecil dan jangkaan tempoh penggantungan, beliau menjelaskan, antara langkah terawal adalah penyusunan semula struktur kepimpinan jemaah pengarah dan pengukuhan fungsi semak imbang menerusi pelantikan jawatan kuota khas.
“Kerajaan telah menempatkan tokoh-tokoh profesional yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam untuk menerajui NAFAS.
“Mereka ini bukan sahaja pakar dalam bidang masing-masing malah telah memberi khidmat cemerlang kepada negara sebelum ini. Kerajaan yakin pasukan ini mampu mencorak semula masa depan Nafas yang lebih berdaya saing dan berintegriti,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan NAFAS benar-benar menjalankan fungsi sebagai platform pembela peladang kecil di negara ini selaras dengan semangat penubuhannya.
Pada 1 Jun 2018, kementeriannya pernah menggantung operasi NAFAS susulan masalah serius tadbir urus agensi berkenaan, terutama daripada aspek kompetensi, kebertanggungjawaban, dan ketelusan dalam barisan kepemimpinannya.
Perintah penggantungan dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) mengikut Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973, susulan audit pengurusan pada 26 Mac lalu. -MalaysiaGazette















