KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak menyeluruh serta mengelirukan daripada segi angka peruntukan dan hala tuju dasar sosial-ekonomi.
Beliau mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa jumlah keseluruhan RMK13 mencecah RM611 bilion kerana menurutnya jumlah itu turut merangkumi RM120 bilion daripada GLC dan GLIC serta RM61 bilion menerusi kaedah Perkongsian Awam-Swasta (PPP).
“Ini mengelirukan. Kita tidak pernah kira perbelanjaan GLC sebagai perbelanjaan kerajaan sebelum ini. Jumlah sebenar yang ditambah hanya RM15 bilion dalam tempoh lima tahun atau RM3 bilion setahun berbanding RMK12,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Fayhsal juga membangkitkan isu ketidakseimbangan perbelanjaan antara sektor pertahanan dan kesihatan yang memperuntukan sektor keselamatan diperuntukkan RM51 bilion jauh lebih tinggi berbanding RM40 bilion untuk kesihatan.
Lebih membimbangkan, dakwanya, RMK13 gagal menunjukkan komitmen serius terhadap agenda kebajikan pekerja dan pembasmian kemiskinan apabila sasaran kadar kemiskinan hanya diturunkan dari 5.8 peratus kepada 4.7 peratus dalam lima tahun.
“Pengurangan 1.1 peratus dalam lima tahun sangat kecil. Ini bukan ‘menoktahkan kemiskinan’ seperti yang diuar-uarkan,” tegasnya.
Beliau turut mengkritik ketiadaan sasaran untuk merapatkan jurang pendapatan antara kaum serta ketiadaan petunjuk pembangunan ekonomi Bumiputera dalam dokumen RMK13.
Menyentuh pembangunan wilayah, beliau memberi amaran bahawa negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan akan terus ketinggalan memandangkan pertumbuhan KDNK wilayah itu hanya disasarkan pada kadar 4.7 peratus setahun terendah dalam Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette















