Rozita menolak wheel chair suaminya Aidiamin yang mengalami serangan jantung di China. Gambar: Facebook Rozita Ibrahim

KUALA LUMPUR – Usahawan terkenal, Rozita Ibrahim berkongsi situasi cemas apabila suaminya mengalami serangan jantung ketika mereka berada di China.

Menerusi Instagram, beliau memaklumkan kesihatan suaminya, Aidiamin Ahmad berada dalam keadaan yang genting.

Menurutnya, peristiwa itu berlaku pada pukul 4.12 pagi.

“Kami selalu berbual-bual, ada saja yang disembangkan. Tiba-tiba suami senyap, saya pun diam dan pandang wajahnya. Kami terhenti selama tiga minit.

“Kemudian dia bersuara”Sayang panggil ambulans sekarang.”

“Saya panik. Jam 4.12 pagi dan di sini dah siang sangat cepat. Kami lapan orang semuanya bergegas ke Jabatan Kecemasan hospital degan ejen kami, Leo.

“Oleh kerana tiada rekod perubatan jelas, suami perlu melakukan prosedur Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan dua jam lagi kami akan mendapat laporannya,” kongsinya.

Mengakui gugup dan panik dengan masalah kesihatan yang dihadapi suaminya ketika berada di China, ahli perniagaan berusia 61 tahun itu bersyukur kerana dengan bantuan orang sekeliling suaminya mendapat layanan dan rawatan yang baik di sana.

“Wallahi saya tenang kerana staf dan ejen sangat membantu. Perubatan mereka canggih dan hospital ini nombor dua terbaik di China.

Hospital Bersekutu Ke-4 Sekolah Perubatan Universiti Zhejiang (Zhejiang University School of Medicine Fourth Affiliated Hospital),” kongsinya.

Ibu kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri itu menjelaskan, keadaan berkemungkinan berpunca daripada tabiat Aidiamin yang kerap memakan kambing sejak berada di republik berkenaan.

Namun keadaan kesihatan memburuk dengan pelbagai simptom seperti sesak nafas dan dada mencucuk dan pening kepala.

“Dia lupa bawa bahan pencair darah dan sudah 10 hari tidak mengambilnya dengan alasan tidak suka kerana rasanya tidak sedap dan memualkan.

“Sini dia hari-hari makan kambing sebab sedap. Dia rasa mencucuk pada dada, pening kepala, kebas tangan, tidak boleh gerakan tangan, sesak dan susah bernafas.

“Doktor di sini sangat baik layanannya walau kami orang luar. Doktor pakar otak dan dan jantung bergilir merawatnya. Saya berharap boleh balik ke Malaysia esok,” kongsinya lagi.

Menerusi Insta Story, beliau memaklumkan suaminya sudah dibenarkan pulang dan perlu mendapatkan rawatan susulan dengan pakar jantung sebelum bertolak pulang ke Malaysia.

Difahamkan, penerbangan pulang terpaksa ditunda dan pasukannya meminta orang ramai mendoakan supaya segala urusan dipermudah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast