KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran membentangkan semula Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).
Ahli Parlimen Jerlun, Abd Ghani Ahmad (Perikatan Nasional) berkata, ia bagi menetapkan hukuman syariah yang setaraf dengan mahkamah sivil.
“RUU 355 ini telah diluluskan oleh Kabinet di bawah kerajaan PN (Perikatan Nasional) tetapi tidak sempat dibentangkan di Parlimen, akibat pembubaran Parlimen pada Oktober 2022 yang lalu.
“Saya pohon sambung saja kerja-kerja teknikal yang masih berbaki untuk membolehkan RUU 355 dibentangkan semula di Dewan Rakyat,” katanya ketika sesi Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Sebagai rekod, RUU 355 dibentangkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada April 2017.
Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, sesi libat urus bagi meminda RUU tersebut di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet dan sepatutnya dibentangkan di Parlimen tahun lalu.
Sementara itu, Abd Ghani menggesa kerajaan menjelaskan status terkini Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diketuai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Saya ingin mencadangkan agar kerajaan menyemak semula Perkara 121 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan ini dengan memasukkan frasa baharu iaitu sebarang keputusan Mahkamah Syariah adalah muktamad dalam hal berkaitan orang Islam dan tanpa sebarang semakan daripada Mahkamah Sivil,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















