Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini menegaskan enam ahli Parlimen pembangkang yang didakwa menyokong kerajaan masih dianggap berada dalam blok pembangkang selagi tiada pengesahan rasmi diterima pihaknya.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu-PN) yang meminta penjelasan berhubung status sebenar enam wakil rakyat tersebut yang dikatakan menyokong kerajaan.

Menjawab persoalan itu, Johari berkata, pihaknya tidak menerima sebarang surat atau kenyataan rasmi daripada enam individu berkenaan yang menyatakan pendirian untuk keluar daripada blok asal mereka.

“Tidak ada satu ayat pun yang ditulis kepada saya. Selagi mereka tidak nyatakan secara hitam putih bahawa mereka keluar dan menyertai mana-mana blok lain, saya tidak boleh buat keputusan sesuka hati,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Johari, keenam-enam wakil rakyat itu masih mengundi seiring dengan pembangkang dan mempunyai hak yang sama sebagai ahli Parlimen termasuk untuk mengemukakan soalan.

“Kalau saya buat keputusan tanpa asas, itu tidak adil kepada mereka. Saya berlaku adil. Mereka masih sebahagian daripada rumah ini,” katanya lagi.

Kemudian Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) kemudian bangkit menyoal sama ada speaker mengiktiraf keenam-enam mereka sebagai penyokong kerajaan.

Namun, Johari menegaskan, beliau tidak pernah menyatakan perkara sedemikian.

“Saya tak kata mereka menyokong kerajaan. Saya cuma ikut peraturan sedia ada. Selagi tiada surat rasmi atau pengakuan, saya kekalkan kedudukan mereka seperti sediakala,” ujarnya.

Enam Ahli Parlimen tiket parti Bersatu itu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast