KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak membawa kerugian kepada UMNO langsung, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Sebaliknya, beliau mengalu-alukan tindakan Khir dengan menyatakan ‘bawalah kudis penyapu’ ke dalam Bersatu.
“UMNO tidak rugi sesen pun. Bawalah kudis “penyapu” ke dalam Bersatu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menambah, akar umbi UMNO, penjawat awam, orang Melayu dan rakyat tidak lupa “legasi penyapu” Khir masa beliau menjadi menteri besar dulu, malah menjadi punca UMNO hilang kuasa di Selangor hingga ke hari ini.
Puad turut menempelak tindakan Khir yang tiba-tiba bercakap soal kembali dominan terutamanya di Selangor, ternyata pemikiran politik baik dari segi realiti dan taktikal jauh ketinggalan.
Jelas Puad, dominan tidak semestinya UMNO mesti bertanding banyak kerusi dan menang majoriti dua pertiga.
Bahkan katanya, berkongsi kuasa di peringkat pusat dan mentadbir Johor, Melaka, Perak dan Pahang adalah permulaan baik untuk UMNO kembali dominan setelah hilang kuasa di PRU 2018.
Terangnya, dominan dalam konteks kongsi kuasa perlu definisi baharu iaitu dominan dalam agenda rakyat, menteri yang berprestasi tinggi, berprinsip dan konsisten. Ia tidak lagi bergantung kepada nombor semata mata.
Justeru, alasan Khir menyertai Bersatu dangkal dan menyimpang jauh daripada realiti “New politic” hari ini, apatah lagi dia sudah tidak lagi relevan dan tidak akan membawa nilai baru kepada Bersatu.
Hakikatnya, kata Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Khir menyertai Bersatu hanya kerana tidak dapat menerima UMNO bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Politik hari ini memerlukan ‘wisdom’ dan ‘trust’. Khir Toyo masih bernafsu untuk jadi calon. “Dia kecewa kerana di PRU ke-15 dia tidak dicalonkan. Sebab itu dia menyertai Bersatu,” dakwa Puad.
Awal hari ini, Ketua Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendedahkan Khir Toyo sudah menyertai parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu. – MalaysiaGazette.
















