KUALA LUMPUR – Seramai 4,352 Pegawai Perubatan Gred UD10 akan mula dilantik secara tetap ke dalam perkhidmatan awam menjelang hujung tahun ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelantikan tersebut merupakan satu langkah besar yang mencerminkan komitmen Kerajaan Madani terhadap keadilan, jaminan kerjaya serta reformasi sistem kesihatan yang menyeluruh.
“Alhamdulillah, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri bulan lalu, hari ini saya ingin mengesahkan bahawa seramai 4,352 Pegawai Perubatan Gred UD10 akan mula dilantik secara tetap ke dalam perkhidmatan awam menjelang hujung tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Dzulkefly, surat tawaran akan mula dikeluarkan selewat-lewatnya pada 18 Ogos ini dengan tarikh lapor diri seawal 2 Oktober depan.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pelantikan kepada jawatan tetap itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu menerusi fasa 1, 2 dan 3 yang melibatkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF).
Katanya, pelantikan tetap ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha mengiktiraf pengorbanan para doktor kontrak dan mengangkat martabat profesion perubatan awam di negara ini.
“Langkah ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha mengiktiraf pengorbanan para doktor kontrak, serta mengangkat martabat profesion perubatan awam di negara ini,” ujar beliau.
Dzulkefly turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mendengar dan memberi perhatian terhadap kebajikan para doktor.
“Buat semua doktor yang terlibat; Kami mendengar rintihan anda.
“Kami memahami keperluan anda. Dan kami menghargai setiap pengorbanan anda,” ujarnya.
Beliau turut menyeru semua doktor yang terlibat agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan integriti kerana KKM akan sentiasa bersama mereka.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lebih 4,000 jawatan untuk doktor kerajaan, termasuk pegawai perubatan lantikan kontrak, akan disediakan tahun ini.
Dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di televisyen, Perdana Menteri menekankan keperluan mendesak terhadap doktor dalam sektor penjagaan kesihatan.
Bagi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan, Anwar mengesahkan seramai 4,352 doktor baharu, termasuk yang berstatus kontrak, akan diambil bekerja pada tahun ini. – MalaysiaGazette
















