Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani menjadi sasaran sindiran Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai apabila mempersoalkan penggunaan semula sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang sebelum ini lama ‘disimpan’ tanpa sebarang hasil nyata.

Menurut beliau, rakyat kini berpeluang menilai sendiri sama ada sistem PADU benar-benar kukuh seperti namanya selepas kerajaan mengumumkan ia bakal digunakan untuk menentukan kelayakan penerima subsidi petrol RON95.

“PADU (Pangkalan Data Utama) akhirnya berpeluang membuktikan ia benar-benar PADU (kukuh)?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Dominic turut mengalu-alukan pengumuman Kementerian Kewangan mengenai penggunaan PADU sambil menyampaikan ucapan tahniah secara sinis kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kerana sistem yang diperkenalkannya itu akhirnya digunakan selepas beliau tidak lagi dalam Kabinet.

Namun begitu, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada data PADU akan benar-benar menjadi rujukan utama dalam pelaksanaan subsidi bersasar yang dirancang kerajaan.

“Lagi pun, selepas lebih setahun, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum dapat menentukan pendapatan isi rumah mana yang layak menerima subsidi, dan golongan kaya mana yang akan digugurkan.

“Jika berdasarkan pengumuman asal kerajaan, saya benar-benar bimbang terhadap keluarga di bandar-bandar besar yang berpendapatan isi rumah bulanan RM13,000 ke atas,” katanya.

Beliau juga mengkritik Kementerian Ekonomi yang disifatkan antara kementerian paling tidak cekap malah menyatakan bahawa sepanjang Rafizi memegang jawatan itu, beliau gagal mengemukakan angka tepat mengenai subsidi.

“Walaupun Rafizi gagal memperoleh kepercayaan Perdana Menteri ketika memimpin Kementerian Ekonomi dan pelaksanaan subsidi diesel juga tidak melibatkan PADU, sekurang-kurangnya selepas pemergiannya, PADU akhirnya ‘dapat digunakan semula’,” tegasnya.

Dominic turut menyelar Anwar kerana sering menuding jari kepada golongan kaya kononnya menikmati subsidi namun dalam masa sama membatalkan cukai barang mewah dan mungkin menafikan hak subsidi kepada kelas pertengahan yang setia membayar cukai pendapatan.

Gerakan turut menyarankan agar kelayakan subsidi ditentukan berdasarkan pendapatan bersih isi rumah dan bukannya pendapatan kasar, dengan data utama dirujuk terus daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bukan hanya melalui PADU.

Isnin lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang memangku tugas Menteri Ekonomi berkata PADU akan menjadi rujukan pelaksanaan subsidi bersasar RON95, sementara menunggu pelaksanaannya secara menyeluruh.

Data membabitkan 30.4 juta profil individu itu akan digunakan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebagai rujukan bagi melaksanakan pemberian subsidi bersasar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast