Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan bayaran pencen secara bulanan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan menjejaskan hak pengeluaran ahli sedia ada.

Jelas Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, cadangan tersebut hanya akan terpakai kepada ahli baharu yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaan mekanisme baharu itu.

Bagaimanapun, katanya, ahli sedia ada boleh memilih untuk beralih kepada strukur baharu itu secara sukarela.

“Cadangan penstrukturan semula akaun KWSP ini akan memperkenalkan satu mekanisme baharu yang membolehkan sebahagian daripada simpanan ahli diperuntukkan khusus untuk menyediakan aliran pendapatan berkala sepanjang tempoh persaraan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Mordi Bimol (Mas Gading-PH) mengenai rasional KWSP untuk memperkenalkan bayaran pencen secara bulanan.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, mekanisme tersebut bertujuan memastikan simpanan ahli bertahan lebih lama ketika tempoh persaraan demi menampung kos sara hidup yang dijangka semakin meningkat.

“Struktur baharu ini akan diwujudkan apabila ahli mencapai usia persaraan minimum, yang mana simpanan ahli terbahagi kepada dua komponen utama iaitu simpanan fleksibel iaitu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

“Kedua, adalah simpanan pendapatan yang diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis. Cadangan ini bertujuan mengukuhkan jaminan pendapatan hari tua dan menyokong pengurusan kewangan yang lebih mampan,” tambahnya.

Terdahulu, cadangan tersebut diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 baru-baru ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast