Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menyifatkan serangan peribadi yang dilemparkan kepadanya sebagai bukti kehabisan modal politik pemimpin dalam kerajaan apabila gagal mempertahankan tindakan tidak sensitif terhadap Jalur Gemilang.

Menurut beliau, setelah isu sebenar mengenai pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik diketengahkan, tiada lagi hujah yang boleh diguna pihak terbabit untuk menjustifikasikannya.

Sebaliknya, mereka kini cuba mengalihkan perhatian dengan menyerangnya secara peribadi.

“Inilah perangai pemimpin mereka. Bila kita pertahankan lambang bendera Malaysia dan tak ada lagi isu yang mereka nak pertahankan, akhirnya mereka tuduh kita pula sebagai anjing liar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr. Akmal turut menyelar kenyataan menghina tersebut yang menurutnya bukan hanya datang daripada pemimpin muda gabungan kerajaan malah turut melibatkan tokoh senior yang sepatutnya lebih bijaksana dalam berpolitik.

“Bukan hanya yang muda sahaja yang bengap tetapi pemimpin senior pun bengap rupanya,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

Tangkap layar FB Teng Chang Kim
Tangkap layar FB Teng Chang Kim

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada bekas Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang menyamakan Dr Akmal dengan ‘anjing liar’ dalam satu hantaran di media sosialnya.

“Untuk perangai seperti anjing liar ini, jangan buang masa buat laporan polis.

“Buat aduan di unit tangkap anjing liar di majlis perbandaran sudah memadai,” tulis Chang Khim yang juga bekas pemimpin DAP dalam hantaran tersebut yang turut disertakan dengan wajah Dr Akmal dan petikan berita berbahasa Mandarin.

Bagaimanapun, gambar Dr Akmal kemudiannya dipadam selepas menerima kecaman netizen.

Tindakan itu disifatkan sebagai tidak wajar dan keterlaluan khususnya datang daripada pemimpin berpengalaman seperti Chang Khim.

Dr Akmal yang terkenal lantang dalam isu melibatkan maruah agama dan negara turut menyindir kenyataan tersebut dengan gaya sinis.

“Sebiji perangai macam babi hutan. Lepas ini tuduh Dr Akmal menghina babi hutan pula ya,” sindirnya.

Kenyataan itu dilihat sebagai tindak balas terhadap segelintir pemimpin dan penyokong parti DAP yang sebelum ini tidak senang dengan pendirian tegasnya dalam mempertahankan Jalur Gemilang.

Terdahulu, Dr. Akmal mendesak tindakan tegas dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal menghormati simbol kedaulatan negara, tanpa mengira latar belakang mahupun kedudukan individu terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast