Dr Mohd Aleef Yusof

MELAKA – Pembangkang Melaka menyifatkan kelantangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh yang mengkritik pemimpin DAP dalam isu bendera terbalik di sebuah sekolah baru-baru ini sebagai hanya membuang masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, ia kerana akhirnya DAP sebagai rakan sekutu Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan terlepas daripada sebarang tindakan.

“Tiada gunanya Dr Akmal buang masa membuat bising kerana inilah realiti di Malaysia sekarang di mana isu berkaitan bendera terbalik atau penghinaan kepada agama Islam akan dibiarkan berlalu begitu sahaja.

“Hari ini tiada siapa lagi takut untuk melakukan kesalahan bendera terbalik dan begitulah kebiasaannya kerana DAP telah mempertahankan pelaku dan pemimpin UMNO terpaksa akur kepada parti itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, apa yang dapat dilihat, DAP akan terus menang dalam mempertahankan pelaku dan selepas ini, mungkin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula akan bersuara untuk ‘mematikan’ suara Dr Akmal.

“Jadi saya nasihatkan Dr Akmal tidak perlulah untuk buat bising dan desak kerajaan ambil tindakan kerana inilah natijahnya apabila UMNO memilih untuk bersama DAP membentuk kerajaan.

“Tapi saya ingin mencabar Dr Akmal, kalau betul mahu tindakan keras diambil kepada pelaku, bawa UMNO keluar daripada kerajaan ini dan berhenti tunduk dan menjadi jadi pak turut kepada DAP,” tegasnya lagi.

Sabtu lalu, media melaporkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua, Port Dickson memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat melalui satu kenyataan yang dikongsikan Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru ekoran tindakan pekerjanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik.

Susulan itu, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau meminta agar Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang mengkritik beliau dalam isu itu turut diberikan status orang kurang upaya (OKU). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast