KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memandang serius isu yang tular baru-baru ini berkaitan amalan berunsur diskriminasi berasaskan bahasa dalam sistem agihan tempahan sebuah aplikasi perkhidmatan e-hailing yang didakwa tidak memberikan agihan secara adil dan saksama kepada semua pemandu.
Agensi itu menegaskan, semua perkhidmatan e-hailing wajib mematuhi syarat-syarat pelesenan dan syarat-syarat khas di bawah Perkara 9, Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) Syarat Khas (Bahagian III – Operasi) Kenderaan e-Hailing : Pemegang Lesen hendaklah memastikan sistem agihan tempahan yang ditetapkan adalah adil dan saksama kepada semua pemandu”.
“Sebarang pelanggaran terhadap syarat-syarat tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12A(9), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 tetapi tidak lebih daripada RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua- duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, APAD komited untuk memastikan kesinambungan industri perkhidmatan e-hailing sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang adil, telus, dan inklusif, serta bebas daripada sebarang unsur diskriminasi terhadap semua pihak berkepentingan. -MalaysiaGazette
















