KOTA TINGGI – Seorang kru kapal warga Indonesia maut manakala empat cedera dalam insiden sebuah kapal tangki terbakar pada kedudukan 36 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil di sini malam tadi.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, aduan diterima Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada pukul 9.30 malam daripada pemancing.
“Mereka yang melalui kawasan tersebut pada pukul 6 petang melihat sebuah kapal tangki dengan tanda nama MT 108 terbakar sebelum membuat aduan.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (cari lamat) diaktifkan dan KM SATRIA segera diatur gerak ke lokasi kejadian. Turut dibantu aset bot, Perkasa 30 dari Zon Maritim Tanjung Sedili dan Penggalang 43 daripada Zon Maritim Mersing.
“Hasil siasatan awal dan perkongsian maklumat pihak polis, lima mangsa dibantu dan dibawa bot yang berada berhampiran ke darat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Katanya, empat lagi mangsa lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan selebihnya warga Indonesia berumur lingkungan 31 Lhingga 49 tahun dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.
“Setakat ini, jumlah keseluruhan kru masih dalam siasatan MRSC Johor Bahru dan operasi itu dilaksanakan seluas 8.0 batu persegi melibatkan sebuah kapal dan dua
buah bot ronda Maritim Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Anggota maritim membawa mayat seorang kru kapal warga Indonesia dalam insiden kapal tangki terbakar di timur Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi, malam tadi
















