Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan Kempen Taat Setia Rukun Negara sempena ulang tahun pengisytiharan ke-55 Rukun Negara tahun ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan Kempen Taat Setia Rukun Negara sempena ulang tahun pengisytiharan ke-55 Rukun Negara tahun ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kempen tersebut sebagai satu daripada usaha meningkatkan penghayatan rakyat Malaysia terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara.

Menurutnya, kempen itu diadakan bertujuan memperkukuhkan perpaduan nasional menerusi penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara dengan menggalakkan rakyat terutamanya generasi muda supaya terus berpegang kepada asas pembentukan negara.

Selain itu, tambahnya, kempen tersebut juga bagi mempertingkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan taat setia kepada negara dan Perlembagaan Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia yang berada di dalam negara mahupun luar negara digalakkan untuk mengambil bahagian dalam kempen ini dengan memuat naik video dan gambar berkaitan Rukun Negara sepanjang bulan Ogos hingga 16 September ini dengan menggunakan tanda pagar #TaatSetiaRukun Negara #55Tahun Rukun Negara di platform media sosial masing-masing,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sepanjang sambutan Hari Kebangsan dan Hari Malaysia tahun ini, pihaknya akan melaksanakan 11 inisiatif untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai wadah penyatupaduan rakyat Malaysia.

Ujar beliau, antara program yang dilaksanakan ialah Konvensyen Sekretariat Rukun Negara; Sambutan Anak Merdeka 31 Ogos; Program Malaysiaku Merdeka; Jejak Merdeka Gen Z; Pertandingan Pidato Rukun Negara dan Kembara Harmoni Merdeka.

“Rukun Negara ialah asas kepada usaha memperkukuh perpaduan, menjamin kestabilan, serta membina masa depan negara yang lebih mampan.

“Rukun Negara mencerminkan komitmen dan aspirasi nasional untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, adil, saksama, demokratik dan progresif,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Kementerian tersebut berharap melalui Kempen Taat Setia Rukun Negara berkenaan, rakyat Malaysia akan lebih menghargai, memahami, dan menghayati prinsip- prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan keharmonian negara seterusnya membentuk masyarakat MADANI yang yang progresif, inklusif dan berintegriti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast