Foto: Bomba Kedah

BALING – Seorang murid Tahun Enam ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kuari pasir ketika memancing bersama dua rakannya dalam kejadian di Taman Mesra Ria, Kupang, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, mangsa Muhammad Farish Syazwi Mohamad Sukri, 12, dikatakan tergelincir sewaktu memancing di kawasan terbabit sebelum terjatuh ke dalam kuari pasir.

“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.30 petang tadi dan menggerakkan pasukan dengan kekuatan enam orang pegawai dan anggota ke lokasi.

“Tindakan awal yang dilakukan anggota adalah dengan membuat pencarian mangsa menggunakan teknik permukaan di air sekitar lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya selepas dua jam usaha mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam, mangsa kemudiannya ditemukan pada jarak tiga kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.

“Mangsa ditemui pada pukul 6.25 petang tadi oleh bapa saudaranya yang turut sama dalam operasi SAR,” katanya.

Zulkhairi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast