Wooi Jin.

GEORGE TOWN – MCA Pulau Pinang melahirkan kebimbangan terhadap komitmen kerajaan untuk melabur dan membuat pembelian bernilai RM1.17 trilion ke Amerika Syarikat (AS) yang dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan pengurangan tarif import daripada 25 kepada 19 peratus.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Persiapan dan Pemantauan Pilihan Raya negeri, Chan Wooi Jin berkata, jumlah pelaburan yang begitu besar itu menimbulkan tanda tanya, apatah lagi ketika negara sedang berdepan hutang mencecah RM1.3 trilion.

“Jumlah ini sangat besar dan mengejutkan rakyat, terutamanya ketika ramai berdepan tekanan ekonomi. Dalam keadaan sebegini, setiap keputusan ekonomi perlu diteliti secara menyeluruh.

“Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini memaklumkan bahawa Malaysia telah berikrar untuk membuat pelaburan dan pembelian melebihi USD240 bilion (anggaran RM1.17 trilion) ke AS bagi menangani ketidakseimbangan perdagangan.

“Namun, kita hanya menerima pengurangan tarif sebanyak enam peratus. Adakah pulangan ini setimpal dengan nilai pelaburan yang dijanjikan?” Katanya dalam kenyataan hari ini.

Wooi Jin turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mungkin terjejas akibat perbezaan kadar cukai.

“Barangan asing dikenakan cukai import sekitar lima peratus manakala PKS tempatan perlu menanggung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) antara enam hingga 10 peratus. Ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam pasaran tempatan.

“Situasi itu membolehkan barangan import dijual pada harga lebih rendah, manakala usahawan tempatan terpaksa menaikkan harga kerana beban cukai yang tinggi.

“Dasar sebegini boleh menyukarkan perniagaan tempatan dan bertentangan dengan komitmen kerajaan untuk memperkasa PKS serta merancakkan ekonomi domestik,” katanya.

Tambah beliau, dana negara sepatutnya diutamakan untuk pembangunan sektor penting seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan kebajikan rakyat.

“Justeru kita menyeru kerajaan untuk menilai semula perjanjian pelaburan dengan AS serta menyemak struktur percukaian sedia ada demi menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih adil dan mampan kepada semua pemain industri tempatan.

“Masa depan ekonomi negara mesti berlandaskan prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast