Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas hadir ke sesi Teh Tarik Industri Gig di WTC, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia memasukkan sektor-sektor tertentu selain daripada e-hailing dan p-hailing dalam jadual Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM) termasuk penggiat filem dan seni persembahan selepas ia berjaya diwujudkan di Parlimen, 26 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu termasuk menambah sektor dan profesion lain ke dalam jadual SEGiM boleh dilakukan dengan kuasa menteri, tanpa perlu dibentangkan ke Parlimen.

“Terdapat sektor-sektor tertentu yang perlu dimasukkan di dalam Jadual supaya undang-undang ini (meliputi banyak profesion Gig).

“Ianya tidak perlu dibawa ke Parlimen sekali lagi, sebaliknya kuasa menteri digunakan untuk memasukkan sektor-sektor pekerjaan dan pelbagai profesion untuk dimasukkan di dalam jadual berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hari ini, Ahmad Zahid bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hadir pada sesi Teh Tarik Industri Gig di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, satu sesi libat urus di antara pekerja Gig dan platform akan diadakan semula pada akhir bulan ini bagi memperincikan keperluan sektor dan profesion ekonomi itu.

“Pertemuan di antara pekerja GIG dan juga platform diadakan semula pada 30 Ogos 2025 untuk kita memberikan dokongan kepada Menteri Sumber Manusia.

“Insya-Allah atas kejayaan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) ini dan tentu akan ada beberapa saranan bagi pelaksanaan sebab terdapat kekeliruan.

“Ertinya komitmen kerajaan khususnya KESUMA meliputi semua sektor dan kita harap pada 26 Ogos sebelah malam itu, semua pihak akan datang termasuk platform,” katanya.

Kata Ahmad Zahid, ketika ini sebanyak 147 platform yang terlibat dalam Rang Undang-Undang Ekonomi (Gig) yang akan dibentang pada 26 Ogos ini.

“Selepas itu, kita akan membawa SEGiM ini ke Parlimen untuk akta penubuhan suruhanjaya ini.

“Kenapa perlu ada Akta, kita perlu penguatkuasaan dari segi perundangan,” katanya.

Katanya, akta itu akan memperkukuhkan undang-undang sedia ada khususnya dalam pengukuhan dana atau tabung SEGiM yang bakal memberi manfaat kepada jutaan pekerja Gig.

“Cadangan pengukuhan dana atau tabung bagi pekerja-pekerja sektor tertentu yang tidak dapat bantuan setelah mereka mengalami keadaan di mana produktiviti mereka tidak lagi dapat terlibat dalam sektor berkenaan.

“Maka dana yang dicadangkan itu akan diliputi atas tanggungjawab SEGiM.

“Ini kerana aspek-aspek itu, kami tidak akan berhenti untuk terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak sekecil mana pun sektor berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast