DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan World Quran Symposium 2025 di WTC, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan seramai 140,000 penghafaz al-Quran atau hufaz cilik menjelang tahun depan menerusi Program Pra Tahfiz di pusat tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini, kira-kira 121,000 kanak-kanak sedang mengikuti program tersebut di tabika KEMAS seluruh negara.

Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Program Pra Tahfiz itu ketika ini telah berkembang ke lebih 8,167 tabika KEMAS berbanding hanya di 100 tabika pada awal pelaksanaannya.

Jelasnya, program itu merupakan tumpuan kerajaan dalam membentuk generasi yang dibesarkan dengan ilmu, iman dan adab bermula dari akar iaitu kanak-kanak sejak usia antara empat dan lima tahun.

“Menjelang 2026, kita menyasarkan kelahiran 140,000 hufaz cilik yang bakal membesar dengan hati yang dipenuhi kalimah Allah SWT, menjadi benteng kepada keruntuhan nilai dan menjadi pewaris tamadun berasaskan wahyu.

“Ini adalah sebahagian daripada ekosistem menyeluruh yang sedang diperkukuhkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan majlis World Quran Symposium 2025 yang bertemakan Membumi Qurani, Mendepani Tamadun’ di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Mengulas mengenai penganjuran World Quran Symposium 2025, Ahmad Zahid berkata, program tersebut bukan sekadar medan ilmiah menghimpunkan tokoh-tokoh cendekiawan malah langkah strategik bagi memperkukuh posisi Malaysia sebagai peneraju wacana Islam global.

Menurut beliau, Malaysia hari ini tampil sebagai jambatan menyatukan warisan keilmuan dengan inovasi masa kini sebagai pusat dialog Islam kontemporari berwibawa dan sebagai suara sederhana membawa prinsip di tengah kekeliruan dunia moden.

“Kehadiran para ulama dan ilmuwan dari pelbagai penjuru dunia ke tanah air ini bukan hanya satu penghormatan. Ia adalah bukti bahawa Malaysia bukan sekadar sebahagian daripada peta tamadun Islam, tetapi sedang memimpin hala tuju masa depannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap simposium tersebut tidak hanya berakhir begitu sahaja sebaliknya menjadi titik tolak kepada gerakan pemikiran Qurani yang segar, menjadi pemangkin dasar negara dan menyatukan tekad untuk membina Malaysia di atas landasan nilai-nilai wahyu.

“Saya menyeru kepada semua, para pemimpin, para ulama, penjawat awam, aktivis masyarakat dan seluruh rakyat kembalilah kepada al-Quran.

“Jadikan ia sebagai kompas yang memandu arah, cermin yang menilai diri, dan tiang utama dalam mendirikan tamadun bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast