Siti Subrina Imran tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan membunuh anak angkat perempuan berusia tujuh bulan. 7 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak angkat perempuannya yang berusia tujuh bulan minggu lalu.

Siti Subrina Imran, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Siti Subrina didakwa telah membunuh bayi perempuan berusia tujuh bulan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras pukul 7 pagi, 30 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Pada 31 Julai lalu, media melaporkan, seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan kebiruan dan lebam di badan di ruang tamu sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri di sini.

Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki pada pukul 9.34 malam memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di kediaman mereka tanpa sebab yang tidak diketahui.

Menurutnya, susulan itu, pihak polis ke rumah pasangan terbabit dan mendapati mangsa berada di ruang tamu dalam keadaan kebiruan dan penuh lebam di badan. Wanita itu kemudian ditahan polis.

“Mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bagi bedah siasat,” ujar laporan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast