Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Zulkifli Muhamad menunjukkan rampasan dadah jenis bunga ganja berjaya ditumpaskan dalam operasi sepanjang Julai 2025.

SEPANG – Cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja seberat 21.22 kilogram bernilai lebih RM1.8 juta tumpas selepas sebuah van perdagangan ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 18 Julai lalu.

Pengarahnya, Zulkifli Muhammad berkata, penahanan tersebut dibuat ketika van perdagangan tersebut melalui kawasan Bay Pemeriksaan Eksport, Zon Perdagangan Bebas KLIA.

“Van perdagangan tersebut disahkan membawa dagangan “Consolidate” untuk tujuan ke salah sebuah negara Eropah yang dijadualkan berlepas pada 21 Julai 2025.

“Hasil pemeriksaan, JKDM menjumpai sembuilan kotak dagangan yang disyaki dadah jenis ganja. Anggaran berat dadah tersebut adalah 21.22kg dan bernilai lebih RM1.8 juta.

Antara dadah jenis bunga ganja yang dirampas dalam operasi JKDM KLIA sepanjang Julai 2025.

 

“Ganja telah disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian I dan II, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes masih dalam siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Zulkifli, sindiket menyembunyikan dadah terbabit di dalam plastik kedap udara pelbagai bungkusan makanan ringan dan juga bungkusan teh bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Zulkifli Muhamad menunjukkan antara minuman keras jenis Beer yang dirampas dalam operasi JKDM KLIA sepanjang Julai 2025.

Zulkifli juga mendedahkan, cubaan sindiket menyembunyikan minuman keras jenis Beer pelbagai jenama sebanyak 50,738.40 liter bernilai lebih RM2.03 juta tumpas selepas sebuah gudang terbiar di Puchong digempur pihaknya pada 10 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas premis perniagaan tersebut telah menjumpai sejumlah minuman keras jenis Beer pelbagai jenama untuk pasaran tempatan disyaki barang larangan dan tidak mempunyai setem cukai.

“Minuman keras adalah merupakan barang larangan yang disenaraikan di bawah Jadual Ketiga, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tak berkastam yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang itu atau RM100,000.

“Individu terbabit juga boleh didenda tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.

Sehubungan itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri.

Menurutnya, JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast