Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat ayat suci Al Quran bersama tetamu selepas selesai menunaikan solat jumaat pada majlis Pelancaran Terjemahan Al-Quran Bahasa ke-30 (Bahasa Rusia) Pelancaran Mushaf al-Ummah dan Peluncuran Kontena Penghantaran Al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 OGOS 2025

PUTRAJAYA – Kerajaan terus komited dan akan memberi sokongan penuh termasuk memberikan peruntukan dana bagi menggerakkan usaha menghasilkan al-Quran terjemahan dalam 30 lagi bahasa asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menyokong usaha Yayasan Restu itu menerusi Kompleks Nasyrul Quran.

“Dia (Yayasan Restu) minta dana tambahan jadi, tentunya untuk ikhtiar ini saya bagi pihak Kerajaan Madani tentunya akan memberikan seluruh hubungan dan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Percetakan Al-Quran dan Terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Rusia dan Pelancaran Mushaf Al-Ummah Al-Jami’ di Kompleks Nasyrul Quran di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Lembaga Penasihat Yayasan Restu/Nasyrul Quran, Tan Sri  Dr Aseh Che Mat.

Menurut Perdana Menteri, ketika ini, Projek 1 Juta Naskhah al-Quran yang diilhamkan pada 2023 telah diterjemahkan dalam 30 bahasa dengan bahasa Rusia yang paling terbaharu.

Jelasnya, dalam setiap negara yang dikunjungi termasuk Peru, Brazil, Kemboja, Laos, China dan Rusia, beliau sentiasa membawa bersama al-Quran terjemahan itu untuk diagihkan.

Sejak dua tahun lalu, projek ini telah berjaya menerbitkan dan mengedarkan al-Quran terjemahan dalam 29 bahasa antaranya Inggeris, Tagalog, Perancis, Hindi, Hausa dan Sepanyol.

Dengan pelancaran edisi ke-30 dalam Bahasa Rusia, Yayasan Restu mengorak langkah lebih jauh dengan perancangan menambah 30 lagi terjemahan bahasa asing bagi meneruskan usaha dakwah dan menjadikan jumlah keseluruhannya 60 terjemahan pelbagai bahasa dalam masa tiga tahun seterusnya.

Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan mesej al-Quran sampai dan dapat dihayati oleh pelbagai bangsa serta komuniti di seluruh dunia selaras dengan misi dakwah rahmatan lil alamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast