KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor memberi amaran akan menggerakkan kempen boikot dan tekanan awam sekiranya Malayan Banking Bhd (Maybank) gagal mengambil langkah pembetulan dalam tempoh terdekat susulan kerjasama dengan syarikat Microsoft.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, kerjasama itu memberi isyarat salah kepada rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa keuntungan perniagaan lebih diutamakan daripada prinsip kemanusiaan dan solidariti terhadap Palestin.
Menurut beliau, sebagai institusi kewangan terbesar negara, Maybank seharusnya menjadi contoh teladan dalam menjunjung nilai kemanusiaan, bukannya mengabaikannya.
“Keputusan ini amat mengecewakan kerana Microsoft dilaporkan mempunyai rekod terlibat dalam pembekalan teknologi yang digunakan oleh regim Zionis Israel dalam operasi ketenteraan, pengawasan dan penindasan terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Maybank memeterai kerjasama untuk tempoh lima tahun bernilai RM1 bilion dengan Microsoft bagi memacu transformasi digitalnya.
Bank itu dalam kenyataan berkata, kerjasama tersebut akan menyaksikan Maybank memanfaatkan keupayaan rangkaian kerjasama, teknologi awan dan AI Microsoft untuk meningkatkan keutamaan pelanggan, mempertingkat operasi dan menggalakkan budaya inovasi yang berterusan.
Sementara itu, Mohamed Sukri berkata, pihaknya menuntut Maybank menggantung serta-merta kerjasama itu sehingga dapat dibuktikan Microsoft bebas daripada sebarang penglibatan dalam penindasan hak asasi manusia di Palestin.
Tambahnya, Maybank juga perlu mengemukakan pelan tindakan jelas bagi memastikan semua rakan strategik dan pembekal teknologi mematuhi prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan piawaian hak asasi manusia yang diiktiraf antarabangsa.
Selain itu, ujarnya, Maybank juga perlu membuat kenyataan rasmi menyatakan pendirian terhadap kekejaman Zionis Israel dan komitmen untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bersubahat dalam penindasan rakyat Palestin.
Dalam masa sama, tegas beliau, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memantau dan menetapkan garis panduan bagi memastikan institusi kewangan negara tidak menjalin hubungan perniagaan dengan syarikat yang terpalit dalam jenayah kemanusiaan.
“Maybank bukan hanya entiti perniagaan, tetapi simbol amanah dan kebanggaan negara. Keputusan yang diambil perlu mencerminkan aspirasi rakyat Malaysia yang selama ini teguh menyokong perjuangan Palestin,” katanya.
Tambah beliau, solidariti terhadap Palestin bukan sekadar slogan, tetapi satu tuntutan moral, kemanusiaan dan keadilan yang wajib dijunjung semua pihak, lebih-lebih lagi oleh institusi nasional yang memegang kepercayaan rakyat. – MalaysiaGazette
















