KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan kebajikan keluarga Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang terkorban ketika menjalankan tugas menangkap suspek dalam  kejadian jenayah di Alor Setar, Kedah semalam akan diberi perhatian sepenuhnya.

KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala urusan termasuk pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada waris beliau disalurkan dengan segera.

Selain itu, urusan pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyarham akan diuruskan oleh pihak PDRM dengan penuh penghormatan yang sewajarnya dengan jasa bakti yang telah dicurahkan kepada negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dukacita dengan kejadian tersebut  menyifatkan kehilangan Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat pasukan PDRM dan negara.

“Bagi pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan seluruh warga KDN, saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai cerminan keberanian dan semangat juang tinggi seorang anggota barisan hadapan yang menjaga keselamatan negara.

“Tindakan beliau yang tidak gentar berdepan risiko demi memastikan keselamatan awam terpelihara adalah sesuatu yang amat kami hargai dan sanjungi.

“Pengorbanan seperti ini menjadi inspirasi kepada semua barisan anggota keselamatan negara dan mencerminkan nilai-nilai luhur dalam perkhidmatan PDRM.

“Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan atas khidmat bakti beliau yang tidak ternilai,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM atas semangat setia dan pengorbanan yang tidak pernah luntur dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Koperal Mohd Hafizul Izham dilaporkan terkorban ketika bertugas menangkap suspek bersenjata dalam kejadian di Alor Setar semalam, dan insiden itu kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Allahyarham maut dirempuh kenderaan dinaiki penjenayah yang cuba melarikan diri selepas dipercayai melakukan pecah rumah, berhampiran Taman Golf, Alor Setar petang semalam. – MalaysiaGazette

Anggota polis maut dirempuh kenderaan penjenayah sedang lakukan jenayah pecah rumah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast