KENYATAAN MCA berkenaan kemasukan pelajar asing di universiti awam.

KUALA LUMPUR – MCA mendesak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendedahkan jumlah pelajar asing yang diterima melanjutkan pengajian di sebanyak 20 universiti awam negara.

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, KPT juga perlu menjelaskan sama ada pelajar asing berkenaan diterima menggunakan kuota kemasukan ke universiti awam yang terhad sekali gus menyempitkan peluar kemasukan pelajar tempatan.

Menurut beliau, pihaknya tidak menentang kemasukan pelajar asing ke universiti awam sebaliknya mengalu-alukan mereka dalam sistem pengajian tinggi negara.

Namun memandangkan universiti awam menerima peruntukan kerajaan maka aspek keseimbangan antara kemasukan pelajar antarabangsa dan melindungi peluang pelajar tempatan perlu diberi perhatian.

“Disebabkan jumlah tempat di universiti awam yang terhad, adalah tidak wajar peluang kepada pelajar tempatan dikompromi semata-mata kerana mahu mengaut keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Teik Cheng turut mempelawa Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir turun padang bersama pemimpin MCA dan meninjau sendiri situasi di universiti awam ketika ini.

Menurutnya, ia memandangkan MCA menerima banyak aduan bahawa pelajar tempatan yang cemerlang tidak diterima melalui sistem pengambilan UPU Online tetapi boleh memasuki universiti awam melalui saluran terbuka dengan membayar yuran tinggi.

Ujar beliau, kaedah itu dilihat seolah-olah berorientasikan keuntungan, sambil menafikan hak pelajar tempatan yang cemerlang untuk mendapatkan peluang setara.

“Memandangkan pelbagai persoalan dan kekalutan yang disebabkan oleh mekanisme saluran terbuka, maka kami menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat, seterusnya memperjelaskan hala tuju dan masa depan universiti awam,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast