Sebahagian daripada 150 koleksi bilah keris tidak dapat diselamatkan yang hangus terbakar dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku pada pukul 11.11 malam semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – “Dalam rumah sahaja ada 50 lebih keris yang terbakar. Yang paling mahal nilainya RM15,000 sebatang.”

Itu luahan Nik Maliki Nik Him, 41, yang berdepan kerugian besar apabila sebahagian besar koleksi kerisnya bernilai lebih RM100,000 musnah dalam kebakaran di kawasan rumah setinggan Pantai Dalam malam tadi.

Nik Maliki yang sudah mengumpul keris sejak berusia 11 tahun berkata, sebelum kejadian beliau memiliki lebih 150 bilah keris termasuk yang disimpan di luar rumah.

Nik Maliki Nik Him

“Sekarang yang tinggal lebih kurang 70 bilah saja. Ada juga yang berjaya diselamatkan tetapi rosak akibat asap dan bahang api semalam, jadi kena cuci dan baiki semula,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengimbas kejadian, Nik Maliki memberitahu, beliau berada di Cheras selepas pulang dari bekerja sebelum menerima panggilan daripada abangnya memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya ingatkan betul ke tidak, terus balik. Sampai-sampai tengok api dah keluar dekat pintu rumah. Memang tak boleh nak masuk.

“Saya cuba ikut belakang sebab takut api merebak ke bengkel saya. Nasib baik bengkel selamat tapi rumah memang habis,” ujarnya.

Sebahagian daripada 150 koleksi bilah keris tidak dapat diselamatkan yang hangus terbakar dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku pada pukul 11.11 malam semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2025.

Bengkel tersebut menyimpan pelbagai barangan antik miliknya yang bernilai ribuan ringgit.

Tinjauan MalaysiaGazette setakat 3 petang tadi mendapati, kawasan rumah setinggan yang musnah telah dikosongkan sepenuhnya.

Manakala deretan kedai berhadapan lokasi terbakar serta kawasan sekitarnya masih beroperasi seperti biasa.

Unit Pengesan Anjing (K9) Bomba sedang melakukan kerja-kerja mencari punca kebakaran berikutan hampir 14 buah rumah dan lot kedai yang hangus terbakar dalam kejadian pada pukul 11.11 malam semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2025.

Pasukan bomba juga masih menjalankan kerja-kerja overhaul untuk mengenal pasti punca kejadian di lokasi.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu, pihaknya akan mengatur beberapa sesi pertemuan melibatkan mangsa kebakaran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menjangkakan bantuan jangka panjang dan memberitahu ingin memindahkan penduduk di kawasan kebakaran itu ke beberapa projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berdekatan.

Fahmi turut memberitahu kawasan berkenaan tidak boleh diselamatkan dan berkemungkinan untuk dirobohkan sepenuhnya dan dibangunkan satu struktur yang baharu.

Anggota bomba yang sedang membuat kerja-kerja mencari punca kebakaran berikutan hampir 14 buah rumah dan lot kedai yang hangus terbakar dalam kejadian pada pukul 11.11 malam semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2025.

Namun, pihaknya perlu meneliti dahulu bantuan yang boleh disalurkan bagi pembangunan kawasan dalam tempoh akan datang.

Kebakaran di kawasan Pantai Dalam berkenaan melibatkan 14 buah rumah setinggan dengan keluasan 100 x 80 kaki persegi yang terbakar sehingga 80 peratus sebelum merebak ke empat buah kedai berhampiran, termasuk sebuah pasar raya Mydin Mart.

Kedai Mydin Mart terbakar 90 peratus di bahagian tingkat satu dan 20 peratus di tingkat bawah manakala tiga kedai lain mengalami kerosakan sehingga 90 peratus.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pihak bomba berjaya mengawal operasi pemadaman pada jam 1.49 pagi.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

14 rumah, lot kedai di Pantai Dalam musnah dijilat api

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast