KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak akan berkompromi dengan sebarang amalan tidak adil dan saksama dalam sistem agihan tempahan yang dilaksanakan kepada pemandu oleh syarikat pengendali e-hailing.
APAD dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan amalan berunsur diskriminasi berasaskan bahasa dalam sistem agihan tempahan sebuah aplikasi perkhidmatan e-hailing yang didakwa tidak memberikan agihan secara adil dan saksama kepada semua pemandu.
Tegasnya, semua perkhidmatan e-hailing wajib mematuhi syarat-syarat pelesenan dan syarat-syarat khas di bawah Perkara 9, Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) Syarat Khas (Bahagian III Operasi) Kenderaan e-Hailing.
Di bawah syarat itu, jelasnya, Pemegang Lesen hendaklah memastikan sistem agihan tempahan yang ditetapkan adalah adil dan saksama kepada semua pemandu.
“Sebarang pelanggaran terhadap syarat-syarat tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12A (9) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 tetapi tidak lebih daripada RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua- duanya,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Tambah kenyataan itu, APAD komited memastikan kesinambungan industri perkhidmatan e-hailing sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang adil, telus dan inklusif, serta bebas daripada sebarang unsur diskriminasi terhadap semua pihak berkepentingan.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan sebuah syarikat e-hailing popular memperkenalkan ciri tempahan pemandu berbahasa Mandarin sebagai antara pilihan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.
Perkara itu mengundang kecaman banyak pihak dan mencetuskan kemarahan golongan pemandu e-hailing yang menyifatkannya sebagai salah satu bentuk diskriminasi kaum.
Bagaimanapun, ciri tempahan pemandu berbahasa Mandarin itu kemudiannya ditarik semula oleh syarikat e-hailing berkenaan.
Difahamkan, ciri itu diperkenalkan berikutan syarikat e-hailing terbabit melaksanakan ujian perkhidmatan susulan data menunjukkan terdapat 1.4 juta pelancong China ke Malaysia sepanjang Januari hingga April 2025. – MalaysiaGazette
















