KUALA LUMPUR – Rita Sosilawati diminta tampil membantu memberi maklumat berhubung taktik penipuan terbaharu didakwa menerima bungkusan disyaki berisi ganja daripada individu tidak dikenali di kediaman ahli keluarganya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada usahawan itu atau mana-mana pihak berkenaan dakwaan tersebut.
“Saya menyeru dan menasihatkan mana-mana individu yang terkesan iaitu Rita Sosilawati untuk tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan,” dalam sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, Erni Dekritawati Yuliana atau dikenali sebagai Rita Sosilawati telah memuat naik satu hantaran di Thread miliknya mendakwa dianiaya apabila adiknya menerima menerima satu bungkusan mencurigakan.
Dakwanya, walaupun alamat tertera pada bungkusan adalah kediaman adiknya, namun mereka tidak mengenali nama penerima.
“Scam terbaru, alamat rumah pun dah tak selamat. Semalam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) datang rumah adik. Mereka kesan parcel alamat rumah yang (dihantar) dari Thailand mengandungi ganja seberat tujuh gram,” tulisnya yang turut memaklumkan laporan polis juga sudah dibuat. – MalaysiaGazette
















