Armin Baniaz Pahamin (tengah)

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak mendedahkan segera pecahan kos penuh projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang merupakan sebahagian daripada projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, kos projek itu yang kini dilaporkan meningkat daripada RM10 bilion kepada RM16 bilion disifatkan sebagai perbelanjaan yang luar biasa tinggi.

Malah, dakwanya, projek itu kini tergolong antara LRT paling mahal di dunia dengan kos kira-kira RM552 juta bagi setiap kilometer, mengatasi kos sistem metro bawah tanah di bandar-bandar maju dunia lain.

Sedangkan, ujar beliau, projek itu majoritinya berbentuk jejambat tanpa komponen terowong besar, namun harganya melebihi projek Transit Aliran Massa (MRT) 2 dan MRT3 di Lembah Klang yang jauh lebih kompleks.

“Kenyataan rasmi kerajaan bahawa projek ini hanya akan menelan RM10 bilion `tanpa kerja penambakan’ membuktikan wujudnya `pembungkusan’ projek yang tidak perlu, dipacu bukan oleh keperluan pengangkutan awam tetapi oleh spekulasi hartanah dan agenda politik.

“Tambahan RM6 bilion yang diumumkan bagi projek itu tidak memberi nilai tambah kepada rakyat. Ia hanya memberi pulangan besar kepada pemaju yang mempunyai hubungan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Armin Baniaz turut membangkitkan perkara yang mencetuskan persoalan berhubung projek LRT Pulau Pinang berkenaan antaranya tiada butiran tender terbuka yang diumumkan.

Selain itu, dakwa beliau, analisis kos faedah bebas juga tidak didedahkan selain tiada pemisahan jelas antara infrastruktur pengangkutan dan projek hartanah penambakan laut.

Dalam masa sama, katanya, tiada penjelasan mengapa projek itu perlu diutamakan berbanding keperluan pengangkutan kritikal di Lembah Klang; Johor; Sabah dan Sarawak.

Kesemua persoalan tersebut, menurut beliau, mencerminkan kecacatan yang lebih besar dalam RMK-13 apabila membenarkan pembaziran seperti itu berlaku.

Jelasnya, dengan memusatkan kuasa membuat keputusan tetapi menangguhkan akauntabiliti fiskal kepada pelan berperingkat (rolling plans) dan jaminan Persekutuan yang kabur, RMK-13 memberi ruang luas untuk perbelanjaan tanpa kawalan dan tanpa semakan Parlimen.

Ujar beliau, jika RMK-13 benar-benar mahu “melakar semula pembangunan,” ia mesti bermula dengan membongkar dan menghapuskan seni bina lama kapitalisme kroni yang diselindungkan sebagai pembangunan infrastruktur.

“Jika tidak, ia akan tercatat dalam sejarah sebagai rancangan paling mahal dalam perancangan negara.

“Mahal dari segi kos, mahal dari segi penafian akauntabiliti, dan mahal dari segi kegagalan reformasi institusi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast