Dr Hafez Hussain

 

KUALA LUMPUR – Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso mula menerima seramai 32 pesakit sejak 22 Julai lepas sebagai sebahagian daripada pelaksanaan operasi secara percubaan.

Dilengkapi teknologi cybernics daripada Jepun, pusat rehabilitasi terbaru daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berkeluasan 15.6 hektar itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.

Pengarah Eksekutif, Pusat Rehabilitasi Perkeso, Datuk Dr Hafez Hussain berkata, bangunan tersebut telah mendapat Certificate of Completion and Compliance (CCC) bagi blok-blok dan mula menerima klien sejak dua minggu lepas.

“Kami telah mula menerima beberapa pesakit untuk program pemulihan awal dalam fasa rintis. Ini memberi ruang kepada pasukan kami untuk menyesuaikan diri dengan teknologi canggih serta memperkemas aliran kerja klinikal sebelum pengoperasian sepenuhnya,” katanya dalam
satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kemajuan kerja fizikal di pusat pemulihan bertaraf dunia itu telah melebihi 95.40 peratus setakat 31 Julai 2025 yang mana ia kini telah melangkah ke fasa baharu melalui pelaksanaan operasi secara rintis.

“Perkembangan ini menandakan satu permulaan penting ke arah pengoperasian penuh menjelang tahun hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Hafez berkata, pusat rehabilitasi itu bakal menjadi rujukan serantau dalam bidang pemulihan neurologi, ortopedik dan vokasional bersepadu menerusi sistem Hybrid Assistive Limb (HAL), yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

“Selain itu, pusat rehabilitasi ini mampu memuatkan 700 pesakit dalam satu masa itu dan akan memberi tumpuan kepada program pemulihan menyeluruh melibatkan aspek fizikal, psikososial, vokasional dan teknologi.

“Fokus kami adalah bagi memberi sokongan kepada golongan pekerja dan pencarum Perkeso yang mengalami kecacatan akibat kemalangan pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast