CYBERJAYA – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan beliau belum menerima apa-apa usul daripada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.
Beliau berkata, tindakan akan diambil seperti amalan biasa mengikut peraturan sekiranya terdapat isu yang dikemukakan oleh mana-mana ahli Parlimen.
Namun jelasnya, seperti yang disebut Muhyiddin di Dewan Rakyat, bekas perdana menteri itu mungkin masih menunggu tindakan selanjut daripada Anwar sebelum membawa sebarang usul.
“Setakat ini belum ada apa-apa usul, cuma Tan Sri Mahyuddin sebut dalam Parlimen beliau sedang menunggu perdana menteri untuk mengambil tindakan dan saya menunggu apa-apa tindakan seperti amalan biasa.
“Kalau ada apa-apa yang dihantar kepada saya, Insya-Allah saya akan lihat dan ambil tindakan selanjutnya seperti termaktub dalam peraturan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Hari ASEAN Ke-58 di sini hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Johari diminta mengulas kenyataan Muhyiddin di Parlimen semalam yang meminta Perdana Menteri untuk menarik balik kenyataannya dalam Parlimen pada Selasa lalu, yang mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Sewaktu membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Muhyiddin berkata, beliau tidak pasti dari mana sumber yang dipetik, dan ia sama sekali tidak benar.
Beliau bagaimanapun menyatakan kesediaan menerima permohonan maaf tetapi akan membawa isu itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan jika tiada tindakan diambil, sambil mempersoalkan arahan siasatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang disifatkan tidak masuk akal.
Ditanya tindakan pembangkang yang akan membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Johari berkata, beliau juga masih belum menerima apa-apa usul setakat ini.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak mahu melangkaui ‘aturan’ dan sebarang strategi perlu dirangka dengan teratur.
Katanya, soal sama ada pembangkang akan membawa usul tidak percaya terhadap Anwar atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Rakyat, untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataan mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu Pulau Batu Puteh. – MalaysiaGazette
















