Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) beramah mesra bersama pelajar-pelajar MRSM Sungai Besar ketika mengadakan lawatan pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam. Foto HARI ANGGARA, 19 FEBRUARI 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Jemput ibu bapa, bincang secara tertutup.

Itu cadangan aktivis sosial, Syed Rosli Jamalulai terhadap kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhubung isu pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dibuang sekolah kerana kes buli.

Menurut beliau, kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki jelas menunjukkan sikap yang terlalu defensif dan konfrontasi bukan mengutamakan penyelesaian secara diplomasi.

“Sebagai pemimpin terutama yang bertanggungjawab terhadap institusi pendidikan di bawah Mara, pendekatan terbaik adalah untuk menjemput ibu bapa berkenaan berbincang secara tertutup, mendengar aduan dan pandangan mereka serta memberi penjelasan terperinci mengenai prosedur siasatan dan alasan tindakan yang diambil,” katanya dalam kenyataan.

Syed Rosli Jamalulai.

“Tindakan mengeluarkan kenyataan ‘bring it on!” di media sosial seolah-olah menolak dialog dan membesarkan isu di ruang awam sedangkan perkara ini melibatkan emosi keluarga dan masa depan pelajar,” kata Syed Rosli.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan berpendapat, kenyataan Asyraf Wajdi boleh dianggap tidak sensitif serta mengundang persepsi pihak pengurusan tidak terbuka kepada perbincangan atau mempertimbangkan bukti baru yang mungkin dibawa oleh ibu bapa.

“Keselamatan pelajar memang perlu menjadi keutamaan tetapi pada masa yang sama prinsip keadilan, hak untuk membela diri dan hubungan baik dengan ibu bapa juga perlu dijaga.

“Pemimpin yang bijak akan memastikan setiap tindakan tegas diiringi penjelasan menyeluruh dan ruang perbincangan bukan hanya bergantung kepada retorik yang bersifat mencabar,” katanya.

Menurut Syed Rosli, sikap keras itu mungkin sebab Asyraf Wajdi beberapa kali bertanding dalam pilihan raya ditolak rakyat sebanyak tiga kali.

“Sikap yang keras tanpa kepekaan, kurang diplomasi dan gemar melawan di media sosial bukanlah ciri pemimpin yang dekat di hati rakyat,” ujarnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ada ibu bapa anak dibuang MRSM mahu ambil tindakan terhadap Asyraf Wajdi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast