KUALA LUMPUR – Duapelancong Malaysia cedera parah selepas dibakar oleh seorang penganggur di Jalan Ratchadamri malam Khamis lalu sedang menerima rawatan di hospital berasingan.
Kementerian Luar Negeri berkata berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah memberikan bantuan berterusan kepada dua warga Malaysia yang cedera itu.
“Kedutaan telah berhubung rapat dengan pasukan perubatan yang merawat kedua-dua mangsa serta sedang memudah cara perjalanan ahli keluarga terdekat mereka, yang dijangka akan tiba di Bangkok hari ini.
“Pegawai konsular daripada kedutaan juga telah melawat mangsa-mangsa untuk memantau keadaan mereka dan memastikan bahawa kedua-dua mangsa serta keluarga mereka menerima sokongan dan bantuan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam itu apabila seorang lelaki secara tiba-tiba menuang cecair pencair dari arah belakang ke atas dua rakyat Malaysia yang ketika itu duduk di tangga berhampiran sebuah pusat beli-belah.
Ketua Balai Polis Lumpini Kolonel Polis Yingyos Suwanno berkata, suspek berusia 30 tahun dari Wilayah Sa Kaeo itu didakwa menyerang mangsa akibat kecewa kerana menganggur sebelum cuba melarikan diri tetapi ditangkap oleh orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Dalam pada itu, kementerian ini dimaklumkan pihak berkuasa Thailand sedang menjalankan siasatan penuh terhadap insiden tersebut dan Malaysia memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa Thailand untuk melaksanakan penyiasatan yang telus dan menyeluruh, dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan.
Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi mengenai insiden ini dan memberi ruang agar proses siasatan berjalan seperti sepatutnya.
Kementerian Luar Negeri, melalui semua pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara, terus komited untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada masa-masa sukar.
Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat atau Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri. – MalaysiaGazette
















