Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir. -Foto: SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina memaklumkan permohonan perintah untuk menggali semula kubur kanak-kanak tersebut akan didengar di Sabah pada jam 1 tengah hari ini.

Hamid Ismail yang bersama Shahlan Jufri bertindak sebagai peguamcara dan peguambela keluarga berkata, sekiranya perintah diperoleh, proses penggalian semula akan dijalankan pada sebelah petang.

“Permohonan perintah menggali kubur akan didengar antara jam 1.00 hingga 1.30 tengah hari ini. Penggalian dijadualkan dilakukan petang ini sebaik sahaja perintah diperoleh,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut memohon doa orang ramai agar semua urusan berjalan lancar.

“Doakan agar perjalanan semua perkara dipermudahkan Allah SWT,” katanya ringkas.

Penggalian semula ini dilakukan susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan siasatan kes kematian tragis Zara Qairina.

Arahan tersebut termasuk langkah melakukan ‘exhumation’ bagi membolehkan bedah siasat menyeluruh dijalankan selepas timbul persoalan mengapa prosedur post-mortem tidak dilakukan ketika kali pertama siasatan dijalankan.

Kes kematian kanak-kanak itu telah mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat di Sabah, dengan ribuan orang berhimpun di pelbagai lokasi termasuk Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu bagi menuntut keadilan dan ketelusan siasatan.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, ditemui ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi.

Pelajar itu disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast