GEORGE TOWN – Seorang pengurus pengatur cara di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini, kerugian lebih RM2.3 juta selepas terjerat dalam penipuan love scam membabitkan seorang lelaki yang diperkenalkan oleh ibu saudaranya.
Wanita berusia 53 tahun itu dikatakan mula berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Perry Chen, kononnya warga Singapura menetap di Ottawa, Kanada.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa telah diperkenalkan dengan suspek melalui ibu saudaranya bernama May pada Februari tahun lalu.
Katanya, ibu saudara mangsa dikatakan berniat mahu menjodohkan mangsa dengan lelaki itu yang dikenali semasa sama-sama menghadiri satu seminar di Kuala Lumpur.
“Sepanjang perkenalan, mereka hanya berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp dan suspek ada memberitahu dia menjalankan perniagaan pemasangan gred elektrik dengan Kerajaan Oman.
“Pada Mac 2024, suspek meminta mangsa membantu membuat pindahan wang untuk pembelian bahan mentah untuk projeknya melalui akaun suspek dengan alasan capaian internet di Oman tidak stabil.
“Wanita itu membantu dengan mengakses akaun milik suspek dan cuba membuat pindahan seperti arahan suspek, tetapi tidak berjaya kerana melibatkan negara berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, suspek kemudiannya meminta mangsa membuat pembayaran caj perkhidmatan bank terlebih dahulu dan berjanji akan membayar semula kepada mangsa.
Katanya, mangsa yang terjerat dalam percintaan alam maya dan mempercayai suspek itu, melakukan 58 transaksi ke sembilan akaun bank tempatan berbeza antara 28 Mac hingga 18 Ogos tahun lalu, membabitkan jumlah keseluruhan RM1,936,818.67.
“Susulan itu, pada September 2024, suspek memaklumkan dia telah mendeposit cek berjumlah AS$404,500 (RM1,715,000) ke dalam akaun Heritage Asset Bank Oman untuk membayar semula wangnya.
“Mangsa kemudian dihubungi kononnya oleh pegawai khidmat pelanggan bank itu di cawangan Malaysia yang menyatakan dia perlu membuat pembayaran caj bank jika mahu menunaikan cek itu.
“Mangsa sekali lagi membuat 13 kali transaksi ke dalam lima akaun bank tempatan berbeza berjumlah RM399,407 antara 25 September 2024 hingga 4 Julai tahun ini,” katanya.
Kata Mohd Alwi, mangsa hanya sedar diperdaya selepas mendapati alasan-alasan yang diberikan bagi pembayaran caj bank tidak munasabah selain mengalami kerugian besar sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya. – MalaysiaGazette















