Proses melabuhkan tukun kuboid.

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melabuhkan 12 unit tukun tiruan kuboid penghalang pukat tunda di Perairan Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang sebagai usaha melindungi habitat marin serta menyediakan kawasan pembiakan bagi sumber perikanan.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada projek tahun 2025 yang dilaksanakan di dua daerah utama di negeri Pahang, iaitu Rompin dan Pekan.

Pelaksanaan di perairan Rompin melibatkan tukun tiruan yang dilabuhkan di dua Kawasan strategik sekitar Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang.

Projek ini menelan kos RM366,750.00 melalui peruntukan pembangunan Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pemasangan tukun tiruan ini berperanan sebagai benteng fizikal bagi menghalang pencerobohan pukat tunda haram, di samping membentuk habitat baharu yang merangsang pertumbuhan stok perikanan dan meningkatkan biodiversiti marin.

“Tukun tiruan ini merupakan pelaburan jangka panjang untuk menjamin kelestarian sumber perikanan, memulihkan produktiviti perairan, dan melindungi sumber rezeki komuniti nelayan.

“Ia adalah kesinambungan usaha Jabatan Perikanan dalam memastikan sumber perikanan negara kekal mapan untuk generasi akan datang,” katanya.

Sejak tahun 2020 hingga 2025, negeri Pahang telah menerima 53 unit tukun tiruan melibatkan kos keseluruhan RM2.03 juta.

Secara keseluruhan, sejak tahun 2007, sebanyak 244 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan negeri ini,meliputi lokasi seperti Rompin, Pekan, Kuantan, Pulau Tioman, Cherating, Cherok Paloh dan Nenasi.

Selain di Rompin, 12 unit tukun tiruan kuboid lagi akan dilabuhkan di Perairan Pulau Berhala, Pekan, pada Oktober 2025.

Projek bernilai RM372,890.00 ini dibiayai melalui peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT), dan dijangka memperluas jaringan kawasan perlindungan
marin di negeri Pahang, sekali gus meningkatkan stok perikanan dan daya tahan ekosistem laut.

Pelaksanaan projek tukun tiruan ini diharap dapat meningkatkan stok perikanan, memulihkan kawasan habitat marin yang terjejas, serta memberi manfaat berterusan kepada komuniti nelayan setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast