KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Kedah mengucapkan selamat maju jaya kepada MIC negeri itu yang meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, BN negeri tidak pernah gentar dengan sebarang perubahan landskap politik, apatah lagi jika ia melibatkan perpisahan jalan dengan mana-mana parti komponen.
“Sejarah telah membuktikan bahawa BN Kedah mampu berdiri teguh, bergerak ke hadapan dan terus mendapat mandat rakyat walaupun tanpa bantuan mereka yang memilih untuk berpaling arah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shaiful Hazizy berkata demikian mengulas laporan media bahawa MIC negeri itu telah meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN dan tidak menolak kemungkinan keluar daripada BN.
Bagaimanapun, Pengerusi MIC Kedah, SK Suresh berkata, keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti itu.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy menegaskan, MIC Kedah bebas membuat pilihan politik sendiri, namun biarlah jelas kepada semua bahawa apabila pintu untuk keluar sudah dibuka diharap tidak lagi menuntut semula ruang, kerusi atau keistimewaan dalam BN setelah mengangkat tangan menyokong pihak lawan.
“Kesetiaan bukan barang mainan yang boleh digadai pada musim pilihan raya dan ditebus kembali apabila keadaan mendesak,” tegasnya.
Shaiful berkata, jika itu jalan yang dipilih, ia adalah isyarat jelas bahawa MIC Kedah tidak lagi mahu bersama BN dalam perjuangan membina kekuatan politik bersama.
“BN Kedah tidak akan merayu, tidak akan berkompromi dan tidak akan mengemis sokongan daripada mereka yang sudah membuat pilihan,” kata beliau.
Tegasnya, BN Kedah yakin MIC Kedah sudah membuat perkiraan yang mereka anggap terbaik untuk menambah kerusi dan masa depan politik mereka.
Namun, BN Kedah akan terus bergerak, membina kekuatan sendiri dan memastikan mandat rakyat tetap terpelihara.
“Bagi kami, kehilangan rakan yang tidak lagi sehaluan bukanlah kerugian, ia sebenarnya satu peluang untuk BN Kedah bergerak lebih laju, lebih fokus dan tanpa beban menjaga hati mereka yang sudah tidak bersama,” katanya. – MalaysiaGazette
















