KUALA LUMPUR – Kira-kira 2,000 peserta membanjiri Dataran Merdeka setakat pukul 7 malam ini bagi menyertai Himpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza sebagai tanda solidariti membantah kekejaman rejim Zionis.

Perarakan bermula sekitar 5.30 petang dari tiga lokasi utama di pusat bandar iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan kompleks beli-belah Sogo.

Peserta membawa sepanduk serta kain rentang dengan mesej ‘Bebaskan Palestin’ selain mendesak Israel diheret ke muka pengadilan antarabangsa berikutan jenayah genosid di Gaza.

Tinjauan mendapati, kawalan keselamatan di Dataran Merdeka diperketat dengan kehadiran anggota polis serta puluhan sukarelawan Unit Amal Pas yang memantau pergerakan peserta sejak awal perarakan sehingga tiba di lokasi utama.

Himpunan anjuran Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) yang dijadual berakhir jam 11 malam itu turut menampilkan persembahan kumpulan nasyid Far East dan Rabbani, persembahan anak-anak Palestin serta ucapan tokoh masyarakat sivil.

Pengarah Himpunan H4G, Datuk Mohd Apandi Mohamad berkata, solat hajat berjemaah akan diadakan selepas Maghrib diikuti sesi mengecam tindakan Israel.

“Ucapan penutup akan disampaikan oleh wakil Kesatuan Ulama Palestin yang diterbangkan khas ke Malaysia disusuli tayangan rakaman ucapan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Dr Ali Al-Qaradaghi, seorang rabbi Yahudi dari New York, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza dan lain-lain,” katanya.

Beliau menegaskan, himpunan itu membawa mesej kemanusiaan sebagai platform penyatuan semua pihak tanpa mengira agama, politik dan bangsa demi mempertahankan kedaulatan tanah Palestin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast