KUALA LUMPUR – Pimpinan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) disifatkan cetek akal dan tidak bijak kerana tidak memahami maksud kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Arman Azha Abu Hanifah berkata, pemimpin DAPSY sepatutnya mempunyai sifat kebertanggungjawaban dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam kerajaan.
Bagaimanapun sikap pimpinan sayap DAP itu yang telah menghina pemimpin UMNO terutama kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dengan menyamakannya sebagai haiwan menunjukkan mereka sebenarnya tidak bertamadun.
“Kalau mereka faham kerjasama politik, mereka harus hormati perbezaan pandangan dan menghormati parti dalam sebuah Kerajaan Madani.
“Tetapi apabila mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan biadab, kenyataan-kenyataan yang tidak bermaruah…bagi saya kalau kamu tak hormat kami, kenapa pula kami nak hormat kamu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan suai kenal Karnival Permotoran Gempa Bumi anjuran Violent Storm Motorcycle Group (VSMG) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Arman berkata, sikap pemimpin DAP yang sering ‘menyalak’ secara umum menunjukkan mereka sebenarnya kurang matang lebih-lebih lagi pimpinan DAPSY Selangor yang telah mengeluarkan kenyataan menghina pimpinan UMNO baru-baru ini.
“Kamu harus jaga mulut kamu. Tolong hormat UMNO jika kamu tak hormat UMNO jangan harap kami nak hormat kamu pula,” tegasnya yang juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.
Sebelum ini, beberapa pimpinan DAPSY mengecam Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau ekoran tegurannya terhadap kesalahan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Akmal turut dilabel sebagai ‘anjing liar’ hanya semata-mata kerana beliau mahu memperbetulkan kesalahan yang berlaku. – MalaysiaGazette
















