KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah basikal dalam kemalangan di Kilometer 49.5 Jalan Johor Bahru–Batu Pahat, Pontian, Johor malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 8.30 malam daripada anggota Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Menurutnya, kemalangan berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa berusia 56 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Dash 125 dari arah Pekan Nenas menuju ke Pontian bergesel dengan sebuah basikal yang ditunggang lelaki tempatan berusia 52 tahun di laluan yang sama.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
“Penunggang basikal pula cedera di kepala dan tangan dan kini dirawat di Hospital Pontian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohammad Shofee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun, jika sabit kesalahan.
Beliau turut meminta saksi kejadian tampil ke Pejabat Trafik IPD Pontian atau menghubungi Inspektor Wan Hairi di talian 012-3450565 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















