GEORGE TOWN – Pemerhati politik, Azizi Safar berpendapat penerimaan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggambarkan parti itu sedang berusaha memperkukuh pasukan mereka.
Beliau berkata, langkah tersebut memberi isyarat PKR mahu menambah individu yang mempunyai latar belakang teknokrat, hubungan korporat dan jaringan antarabangsa dalam barisan mereka.
“Walaupun beliau (Tengku Zafrul) bukan aset strategik UMNO dan tidak memiliki kekuatan akar umbi dalam parti itu, latar belakangnya sebagai bekas Menteri Kewangan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memberi nilai tambah kepada PKR dari sudut kepakaran dan rangkaian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Azizi, penghijrahan Tengku Zafrul ke PKR tidak menjejaskan hubungan baik antara PKR dan UMNO, malah UMNO sendiri tidak terkesan kerana beliau bukan pemimpin berpengaruh di peringkat akar umbi.
“Kepentingan UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan adalah jauh lebih utama berbanding keberadaan Tengku Zafrul dalam parti itu.
“Malah, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah menegaskan beliau tidak terkesan dengan keputusan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO.
“Cuma kini, selepas Tengku Zafrul sah menjadi ahli PKR, timbul persoalan sama ada UMNO akan menuntut semula portfolio Menteri MITI atau sebaliknya,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan permohonan keahlian beliau menyertai parti PKR telah diterima dua minggu lepas.
Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang dilaporkan berkata, permohonan Tengku Zafrul diluluskan Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat pada 26 Julai lalu.
Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR. – MalaysiaGazette















