KUALA LUMPUR – Proses menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang, Sabah bermula petang tadi berakhir pukul 7.38 malam.
Van jenazah yang memasuki kawasan itu pada pukul 6.30 petang tadi dilihat meninggalkan pekarangan tanah perkuburan.
Kenderaan itu diiringi tiga buah kenderaan polis keluar jenazah dan akan dibawa ke Hospital Sepitang untuk proses post mortem.
Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dilihat memasuki tapak perkuburan pukul 5.25 petang tadi.
Proses penggalian kubur itu juga disaksikan oleh Majistret, dua Pendakwa Raya, ibu Zara Qairina, peguam, Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Jabatan Peguam Negara sebelum ini mengarahkan proses itu dilakukan bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan, selepas mangsa dipercayai terjatuh dari bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar pada 16 Julai lalu.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama kira-kira pukul 4 pagi sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan unsur buli menjadi punca kejadian. – MalaysiaGazette
















