KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia mendakwa tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima keahlian Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah mengabaikan amaran yang pernah dikeluarkan oleh UMNO, sekali gus menggugat keharmonian dalam kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ketua penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini telah menegaskan mana-mana parti komponen tidak wajar menerima Tengku Zafrul sebagai ahli bagi mengelakkan ketidakharmonian, selain mengekalkan kesetiaan dan kejujuran dalam hubungan politik.
“Armada melihat PKR tidak mengendahkan amaran tersebut dan meneruskan untuk mengesahkan keahlian Tengku Zafrul.
“Tindakan ini adalah satu peringatan kepada UMNO bahawa mereka hanya penumpang dan bukan pemandu dalam kerajaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Harris, tindakan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO mengukuhkan pandangan bahawa parti itu semakin tidak memenuhi aspirasi rakyat sesuatu yang jelas dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Tambahnya, kerjasama politik antara PH dan BN dilihat tidak lestari, dengan mengambil contoh di Sabah apabila PH bekerjasama dengan BN dan secara berasingan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Dalam erti kata lain, PH tidak peduli apa yang berlaku kepada BN, asalkan PH selamat. Kesetiaan dan keikhlasan PH-BN hanya terhad untuk memastikan golongan di Putrajaya selesa dan dilindungi,” ujarnya.
Semalam, Tengku Zafrul yang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai parti PKR sudah diterima dua minggu lalu.
Tengku Zafrul berkata beliau kini adalah ahli PKR bagi Cabang Ampang.
Pada 30 Mei lepas, beliau mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR. -MalaysiaGazette















