Ketua Perhubungan MIC Kedah, SK Sures

KUALA LUMPUR – Ketua Perhubungan MIC Kedah, SK Sures membidas UMNO Kedah yang didakwanya sanggup ‘membuang kawan lama’ demi bekerjasama dengan DAP – parti yang menurutnya – tidak pernah disenangi akar umbinya.

Dalam kenyataan balasnya, Sures menegaskan, UMNO Kedah sepatutnya tidak bercakap soal kesetiaan memandangkan tindakan mereka bersama DAP bercanggah dengan pendirian parti sebelum ini.

“Kamu sanggup humban kawan masa susah ke tepi dan bercium mulut dengan DAP, parti yang orang UMNO sendiri tidak suka malah tidak mengundi pun di PRK Padang Serai. Mana maruah kamu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam MIC Kedah dilaporkan mengumumkan parti itu meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) serta tidak menolak kemungkinan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keputusan muktamad mengenai perkara itu akan ditentukan kepemimpinan pusat MIC yang kini diterajui Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran.

Susulan itu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, jika itu adalah kehendak akar umbi MIC Kedah maka BN Kedah mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka.

Kata Shaiful, BN Kedah tidak pernah gentar dengan sebarang perubahan landskap politik apatah lagi jika membabitkan jalan perpisahan dengan mana-mana parti komponen.

Dalam pada itu, Suresh turut mengaitkan penghormatan dan keutamaan diberikan kepada DAP sebagai petanda kegagalan UMNO Kedah.

Beliau mengingatkan DAP pernah mengkritik dan menuntut tindakan undang-undang terhadap pemimpin tertinggi UMNO termasuk Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“DAP suatu ketika dahulu menyokong penuh pengampunan kepada (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kini menentang keras pengampunan untuk Najib Razak.

“Ironinya, DAP suatu ketika dahulu menyokong penuh pengampunan kepada Datuk Seri
Anwar Ibrahim tetapi kini menentang keras pengampunan untuk Najib Razak. Inilah wajah sebenar mereka.

“Titah adendum Bossku (Najib) pun mereka lawan habis-habisan tetapi kamu pula lebih rela dimanipulasi demi kepentingan sendiri,” ujarnya.

Sures mengingatkan pemimpin DAP pernah menggelar UMNO sebagai ‘lalat’ dan ‘anjing liar’ namun UMNO Kedah kini dilihat memuji parti itu seolah-olah penghinaan tersebut tidak pernah berlaku.

Beliau tidak menolak kemungkinan MIC meninggalkan BN sekiranya UMNO terus menyimpang daripada prinsip perjuangan asal.

“DAP tidak suka UMNO, tidak suka orang Melayu UMNO tetapi sanggup berlakon demi kekal di kerajaan untuk jawatan. Itu bukan kesetiaan, itu hipokrasi,” tegasnya.

Menurut Sures, masa depan MIC akan ditentukan sendiri tanpa perlu mendapat restu mana-mana pihak dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan negara dan masyarakat India. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast