KUALA LUMPUR – Penghayatan agama penting bagi memastikan pengurusan disiplin dan sahsiah dalam kalangan pelajar sekolah beraliran agama terus terjaga bagi mengelak daripada gejala buli yang semakin berleluasa.
Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, penekanan tersebut perlu diberi perhatian serius terutama dalam konteks tenaga pengajar atau mudir yang perlu memberi contoh terpuji untuk diikuti oleh golongan pelajar.
Ujar beliau, jika penghayatan agama dilakukan dengan baik, sudah tentu tidak timbul keraguan dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak belajar di sekolah beraliran agama.
“Jika para guru dan mudir sekolah menunjukkan akhlak yang baik, ia akan diikuti oleh pelajar sekolah, jadi tidak timbul kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah aliran agama,” ujarnya.
Mohd. Na’im mengulas ketakutan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ‘belajar di luar’ kerana aktiviti buli yang semakin berleluasa sehingga ke peringkat menyebabkan kematian.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, sebagai menteri, setakat ini beliau tiada menerima laporan kejadian buli berlaku di sekolah atau insititusi beraliran agama.
Ujar beliau, pihaknya pernah mengadakan dua lawatan ke Pondok Moden Al-`Abaqirah dan berpuas hati bahawa pelajar-pelajarnya menjaga akhlak dan berharap perkara itu akan berterusan.
Terdahulu, Mohd. Na’im merasmikan Majlis Hafl Al-Takharruj (Konvokesyen) Kali Ke-4 2025 Pondok Moden Al-`Abaqirah anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini hari ini.
Seramai 46 graduan Pondok Moden Al-`Abaqirah yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah dan korikulum diraikan pada majlis tersebut.

Mohd. Na’im turut menyempurnakan pelancaran Modul Turath MAIWP iaitu warisan ilmu klasik dengan pendekatan moden merangkumi disiplin utama iaitu Fikh, Tasawuf, Hadis dan Bahasa Arab.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 Pondok Moden Al-‘Abaqirah yang dikelolakan MAIWP yang telah berkembang pesat dilengkapi fasiliti moden.
Agensi itu turut mengumumkan perancangan untuk membangunkan kompleks kekal baharu berkonsepkan kampus pintar yang akan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif. – MalaysiaGazette
















