KUALA LUMPUR – Penduduk Flat Kuchai Entrepreneurs Park (KEP) membantah cadangan pembangunan semula kawasan mereka yang didakwa dilakukan tanpa mematuhi prosedur sah seperti termaktub dalam Akta Strata dan Akta Pengambilan Tanah Persekutuan.
Ahli Jawatankuasa Bertindak KEP, Nasrun Ismail berkata pihaknya kesal proses rundingan tidak dijalankan secara telus, malah pemilik unit tidak dimaklumkan secara terperinci mengenai pelan pembangunan, nilai pampasan serta hak mereka sebagai pemilik strata.

Malah, beliau turut mendedahkan gangguan berlaku termasuk kunjungan individu tidak dikenali pada waktu malam yang disifatkan bertentangan dengan undang-undang.
“Ada setengah penduduk diorang kata diorang terima duit RM100 hingga RM200, kemudian kita dapat tahu diorang ada terima ugutan, tak dapat bantuan lah apa-apanya semua,” tambahnya ketika ditemui selepas sidang media penduduk KEP hari ini.

Tambah Nasrun, sekiranya cadangan pembangunan semula diteruskan, ramai penduduk akan terkesan dengan peningkatan kos sara hidup terutama melibatkan caj penyelenggaraan jika mereka dipindahkan ke kediaman bertaraf kondominium.
“Bayangkan daripada hanya RM25 sebulan caj penyelenggaraan di flat, mereka mungkin perlu bayar antara RM300 hingga RM400 sebulan, ditambah cukai tanah lebih tinggi dan kos insurans,” katanya.
Beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan Akta Pembaharuan Bandar (URA) dengan mengambil kira perlindungan kepada kampung warisan, rumah kos rendah dan rumah pusaka, serta mengekalkan syarat persetujuan 100 peratus daripada pemilik, bukannya 75 peratus, bagi mengelakkan pengusiran paksa penduduk.- MalaysiaGazette
















